Kadang-Kadang, Kita Terlupa Berdoa



Assalamualaikum...

~ Berdoalah, kamu tidak akan rasa sunyi dan keletihan ~

Pernahkah kita mendengar kisah Nabi ALLAH Zakaria a.s? Sudah hampir berumur 80-an dan tidak pula dikurniakan anak?. Menggunung harapan dia bina. agar mendapat anak yang mampu meneruskan kerja dakwahnya, tetapi tetap juga nikmat itu tidak dikurnia.

Tetapi akhirnya satu peristiwa menyedarkan Nabi ALLAH Zakaria itu. Dan hasilnya kesedarannya, ALLAH memberikan dia anak yang indah bernama Yahya.

Berdoa!. Kadang-kadang kita terlupa untuk berdoa. Apa kaitannya Nabi Zakaria, dengan doa?. Sama-sama kita perhatikan.


Satu hari di mihrab Maryam
Maryam adalah anak saudara kepada Nabi Zakaria. Ibu kepada Maryam bernazar sekiranya dia mempunyai anak,maka dia akan meletakkan anaknya di Mihrab agar hamba adbi kepada ALLAH swt semata-mata. Maka apabila Maryam lahir, dan Maryam adalah perempuan, maka Nabi Zakaria sebagai bapa saudara memegang amanah menjaga Maryam di mihrabnya.

"Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria." 
Surah Ali-Imran ayat 37

Maryam amat istimewa. Dan antara yang mengkagumkan adalah, walaupun dia tidak pernah keluar dari mihrabnya, akan terdapat buah-buahan tersedia buatnya yang datang entah dari mana. Lebih menakjubkan, buah-buahan musim panas muncul ketika dia menghadapi musim sejuk, dan buah-buahan musim sejuk muncul ketika dia menghadapi musim panas.

"Tiap-tiap kali Nabi Zakarian masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya"
Surah Al-Imran ayat 37

Satu hari di mihrab Maryam, Nabi Zakaria yang menyedari akan keajaiban itu bertanya:

"Nabi Zakaria bertanya : Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini"
Surah Al-Imran ayat 37

Dan Maryam pun menjawab :

"Maryam menjawab: Ialah dari ALLAH, sesungguhnya ALLAH memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA dengan tidak dikira"
Surah Al-Imran Ayat 37

Ketika inilah, mengikut apa yang saya belajar daripada guru-guru saya dalam bidang aqidah dan Al-Quran, mereka menyatakan bahawa Nabi Zakaria seakan seperti 'ditegur' oleh ALLAH swt. Tersedar bahawa selama ini dia hanya mengharap, tetapi tidak berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Berdoa dengan keyakinan bahawa, ALLAH swt itu, walau perkara yang mustahil, mampu direalisasikan. Jelas ALLAH menunjukkan dengan kemunculan buah musim sejuk pada musim panas, buah musim panas pada musim sejuk.

Di saat itu jugalah, kalau kita lihat, ALLAH terus menceritakan pada ayat 38, yakni sejurus selepas ayat 37, menandakan  cepatnya perkara itu berlaku, Nabi Zakaria berdoa. Di dalam mihrab Maryam itu jugalah, pada saat kesedarannya itu jugalah, Nabi Zakaria berdoa.


" Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya : Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-MU zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan
Surah Al-Imran ayat 38

Dan ALLAH pantas memberikan jawapan kepada doa yang dilancarkan sepenuh jiwa, bersama kesedaran itu.

"Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya ALLAH memberikan khabar yang membirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari ALLAH, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh"
Surah Al-Imran ayat 39

Kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Bukanlah maksud saya, kita lupa berdoa dalam erti kata mengankat tangan dan menimta kepada ALLAH.

Tetapi maksud saya, kita terlupa berdoa dengan bersungguh-sungguh, memahami makna doa kita, tahu apa yang kita minta, dan yakin bahawa ALLAH mampu akan memakbulkannya.

Ya, kadang-kadang, kita terlupa berdoa

Masa susah dan senang

Kita kadangkala, kala susah, kita mudah mengadu kepada manusia. Kita mudah menceritakan semua masalah kita kepada mereka. Itu memang satu perkara positif, berbanding dipendam seorang diri begitu sahaja. Tetapi persoalannya, apakah kita telah mengadu kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh?

Pernahkah saat kita kesakitan, kita benar-benar berdoa kepada ALLAH ; "Ya ALLAH, aku sakit. Sembuhkanlah."

Pernahkah saat kita sukar hendak mengajak seseorang kepada kebaikan, kita bersungguh-sungguh berdoa kepada ALLAH: "Ya ALLAH, aku sayang dia, aku nak ajak dia pada kebaikan, tetapi dia asyik lari daripada aku ya ALLAH. Lembutkanlah hatinya, dan ampunkanlah dosa aku sekiranya dosa aku membuatkannya menjauh"

Pernahkah saat kita kesempitan, kita benar-benar berdoa kepada ALLAH "Ya ALLAH, aku sempit. Lapangkanlah"

Dengan penuh keyakinan bahawa ALLAH memang akan menyembuhkan kita, akan melembutkan hati dia, akan melapanhkan kehidupan kita?

Tatkala senang pula, apakah pernah kita berdoa kepada ALLAH agar dikekalkan kesenangan kita? Pernahkah kita berdoa kepada ALLAH agar diluaskan lagi rezeki-NYA kepada kita?. Apakah kita berdoa kepada ALLAH agar kita tidak tertipu dengan nikamt pemberian-NYA?

Kadang-kadang kita terlupa berdoa,

Sebab itu kita rasa seperti 'terputus"

Doa, ibarat tali layang-layang

Keimanan adalah penghubung kita kepada ALLAH swt. Manifestasi daripada keimanan adalah amal. Maka amalan adalah penghubung kita kepada ALLAH swt. Kita buat, kita rasa kerikatan kita dengan ALLAH swt. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir, tadabbur alam, melakukan kebaikan-kebaikan, semua itu mengikat jiwa kita dengan ALLAH swt.

Dan doa, adalha kemuncak hubungan kita dengan ALLAH swt sebenarnya. 

Ya, kita hanya meminta dengan yang kita rapat.

Kita hanya mengadu dengan yang kita percaya.

Maka kalau kita rapat dengan ALLAH, memang ALLAHlah yang akan minta kepada-NYA. 

Maka kalau kita percaya dengan ALLAH, memang ALLAH-lah yang kita mengadu kepadanya.

Doa, mengikat kita lebih rapat dengan ALLAH swt. Doa, adalah tanda kita amat yakin dan percaya, tanpa ragu-ragu, bahawa ALLAH amat rapat dengan kita.


"Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), Bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) ku dan hendah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"
Surah Al-Baqarah ayat 186

Penutup : Maka Berdoalah

Maka berdoalah, Susunlah doa kita. Fahami apa yang kita doakan. Yakini bahawa ALLAH akan memakbulknnya. Dan jagn sesekali lupa untuk berusaha dengan sesungguh-sungguhnya. Oarng yang selalu berdoa akan tenang. Kerana dia akan melihat, satu persatu doanya dijawab oleh ALLAH swt. Orang yang tidak berdoa, medapat kejayaan pun, dia tidak akan rasa apa-apa 'nilai tambah', Dia rasa, dia akan putus asa dan tidak bangkit semula. Kita, bila 'mati usaha', kita tetap beradakan bahawa - ALLAH itu ada, dan DIA akan membantu kita. Kerana kita sering berdoa kepada-NYA

No comments :

Post a Comment