Assalamualaikum...
Ada ketikanya pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan terutamanya ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.
Antara sebab keadaan ini berlaku termasuk tekanan tayar depan yang terlalu rendah, penjajaran (alignment) tayar depan yang kurang tepat, kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, mula-mula periksalah tekanan tayar hadapan dan pelinciran sambungan rod stereng. Agar pemeriksaan dapat dilakukan dengan mudah, tongkatlah kenderaan hingga kedua-dua roda depan bergantung. Kemudian periksalah adakah sambungan dan skru sistem pengemudian cukup ketat.
Antara bahagian yang harus diutamakan pemeriksaan terutama kotak gear stereng, sambungan bebola atau gantungan depan termasuk hujung dan pangkal rod pengikat. Untuk mengetahui kerosakannya, putarlah stereng ke kiri dan ke kanan. Selepas itu putarkan stereng ke kanan penuh, kemudian gerakkan stereng sedikit ke kiri dan ke kanan.
Sistem pengemudian mempunyai peranan yang sangat penting, maka waspadalah terhadap pelbagai kelainan yang wujud. Dalam keadaan lain pula, ketika memandu kenderaan di atas jalan yang datar, stereng terasa cenderung untuk berputar ke sesuatu arah. Jadi stereng dipegang dengan kuat untuk mengelakkannya terus berputar ke satu arah.
Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan tekanan tayar kiri dan kanan yang tidak sama, diameter rim kiri dan kanan yang tidak sama, penyelarasan penjajaran roda depan kurang tepat, pegas (spring) gantung depan yang sudah lemah, patah atau kurang baik pemasangannya, penggalas roda depan sudah rosak atau kurang baik penyelarasannya dan brek dari salah satu roda depan atau belakang bergesel.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, pertama pastikan bahawa kenderaan cukup seimbang. Kemudian periksalah sama ada kedua-dua tayar depan dan belakang sama tekanannya. Jika tidak,samakan. Pandu kenderaan perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah kenderaan, rasa dan perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan masih cenderung untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan pemeriksaan seterusnya.
Diameter luar rim kiri dan kanan (untuk roda depan dan belakang) harus sama. Kemudian periksa adakah salah satu pegas depan sudah lemah atau patah. Selain itu, ada kemungkinan juga penyelarasan brek kurang baik atau hanya sebelah yang berfungsi. Kerosakan pada sistem kemudi boleh menjejaskan sistem keselamata. Oleh itu, penjagaan aspek penjajaran roda depan tidak boleh dipandang ringan.
No comments :
Post a Comment