Awas Jerat Hutang



Assalamualaikum...

Dalam kehidupan dunia yang semakin canggih pada hari ini, segala urusan nampak seperti dipermudahkan. Segalanya berada di depan mata, apa saja yang dihajatkan boleh direalisasikan asalkan berkemampuan.

Namun yang menjadi masalah segelintir anggota masyarakat kita pada hari ini apabila dibebani hutang. Terlalu banyak 'fasiliti' diseniakan oleh pihak tertentu untuk 'memudahkan' kita berhutang.
Tidak kira kereta, rumah, perabot hatta bajet untuk melangsungkan perkahwinan, tentu ada pihak yang 'sedia memberikan perkhidmatan meminjam wang. Kerana hutang juga, realiti yang berlaku hari ini apabila kadar kemuflisan semakin meningkat setiap tahun.

Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kalangan mereka diisyitiharkan muflis adalah golongan muda-mudi. Jika tidak percaya, pergilah ke mahkamah tinggi dan lihat, setiap hari ada saja kes bankrap didaftarkan.

Jika diukur pada tahap umur, mereka sepatutnya sedang membina asat tapak yang kukuh untuk kehidupan masa hadapan tetapi malangnya, hutang ini memusnahkan sebahagian perancangan masa depan mereka.

Namun, siapa harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri. Ini kerana, faktor yang membawa kepada gejala 'berhuatng' atas kehendak serta pilihan sendiri.

Paling utama,ia kerana  desakan hawa nafsu serta keinginan untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan diri. Pantang melihat orang lain ada, hati juga berkobar-kobar untuk turut memiliki sesuatu benda yang sama.

Orang ada kereta baru, dia juga tidak mahu kalah untuk memiliki kereta baru. Jiran rumah membeli gelang emas baru, dia juga membeli barang kemas hingga ke siku.

Keduanya, pengaruh daripada sahabat atau jiran tetangga sering memberikan galakan untuk berhutang. Lebih sukar jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesuatu produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan.

Ketiganya, rasa tidak puas dan bersyukur dengan pa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehiduapn dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut.

Kerana itu, sebelum merancang untuk memiliki sesuatu yang berada di luar kemampuan, fikirkan dulu adakah barangan itu satu keperluan atau kehendak. Jika ia satu keperluan (dharuriyat), maka Islam menggaruskan untuk berhutang.

Sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah berkata seseorang "Ya  Rasulullah, pekerjaan adakah paling baik?. Baginda bersabda, Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya ."

Maka berhati-hatilah dan sentiasa berfikir secara bijak sebelum mengambil keputusan untuk 'berhutang' terutamanya apabila berhutang dengan pihak yang kini mengamalkan sistem hutang 'ala Islam' sedangkan  mengamalkan konsep riba.

Menggunakan pelbagai istilah dan konsep Islam hanya untuk mengabui mata masyarakat padahal hakikatnya, ia tidak lebih daripada sekadar 'helah' untuk menarik masyarakat supaya terjebak dalam hutang.

Selain daripada kemungkinan berhadapan dengan tindakan muflis, antara kesan kegagalan untuk melunaskan hutang adalah merasa tidak tenteram. Sentiasa dikunjungi rasa tidak aman, takut dan terancam.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang meminjam dengan 'along' atau 'ceti haram' kerana bukan mereka saja yang diperhatikan, malah ahli keluarga lain serta harta benda turut menjadi mangsa ketidakperikemanusiaan mereka.

Tentunya kesan negatif akibat hutang adalah punca ke arah gejala hidup tidak sihat seperti mencuri, menipu dan sebagainya.

Tentunya orang yang tersepit akan melakukan apa saja untuk melepaskan diri tanpa memikirkan halal dan haram. Apa yang lebih ditakuti adalah fakta ada sesetengah orang sanggup menjual diri, isteri atau anak gadis kepada pemberi pinjaman sebagai langkah penyelesaian kepaa hutang yang tidak tertanggung.

Sebuah hadis Rasulullah bermaksud "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hinggalah dia menjelaskan hutangnya."

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud "Semua orang yang mati syahid diampuni dosanya kecuali hutangnya." (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi An-Nasa I dan Ibn Majjah)

Dalam sebuah kisah, pernah dinyatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak akan menyolatkan jenazah orang yang masih dibelenggu hutang. Hadis diriwayatkan Saidina Ali RA bahawasanya apabila didatangkan kepada baginda satu jenazah, baginda tidak bertanya mengenai amalan si mati, tetapi apakah si mati mempunyai hutang atau tidak.

Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah meminta sabahatnya agar menyembahyangkan jenazah itu atau baginda sendiri yang akan menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang jenazah akan diserahkan atau ditanggung oleh Baitulmal.

Begitu berat tanggungjawab apabila berhutang dengan manusia. Apabila tidak dilunaskan, ia akan menjadi dosa yang tidak terampun sehinggalah si pemberi hutang itu meredakannya. Tidak seperti dosa yang dilakukan kepada ALLAH terhapus sekiranya seorang hamba itu bertaubat atas dosa dilakukan kepada-NYA.

Sabda Rasulullah s.a.w : "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi ALLAH ketika seorang hamba itu menghadap ALLAH nenti selepas dosa-dosa besar yang lain, seorang lelaki yang berjumpa dengan ALLAH pada hari hisab dengan mempunyai hutang masih belum diselesaikan."

Maka beringat-ingatlah sebelum menurut desakan hawa nafsu yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang kita ada.

Sumber : Harian Metro

No comments :

Post a Comment